Monday, November 23, 2009

A STORY OF KUALA LUMPUR (ep38)

CHAPTER 2: EVENT dE KUALA LUMPUR

Himpunan jentera di KLIBR 2009


PELBAGAI reka bentuk motosikal dipamerkan pada KLIBR, baru-baru ini.


KIRA-KIRA 2,000 peminat motosikal berkuasa tinggi berhimpun pada Rali Motosikal Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBR) 2009 yang berlangsung di Padang Polo Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehadiran mereka adalah untuk menyaksikan sendiri deruman enjin, kepelbagaian reka bentuk motosikal dan hiburan pentas yang disediakan sepanjang acara dua hari itu.

Kemeriahan festival kali turut disertai tetamu dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Dianggarkan 500 motorsikal pelbagai kategori termasuk sportbike easy rider, nakedbike, dua fungsi, skuter dan klasik termasuk kapcai berjaya dikumpulkan dari seluruh tanah air.

Antara yang menarik perhatian adalah puluhan 'jentera lusuh' dari zaman Perang Dunia ke-2 terutamanya dari model WL Harley Davidson yang masihberoperasi dengan baik.

Sepanjang KLIBR, pelbagai acara diatur oleh Red Garage selaku penganjur festival seperti pameran pinstripe airbrush oleh pakar dari Indonesia. Seni halus penghias badan motosikal dan topi keledar yang kini dikatakan semakin pupus.

Dengan konsep santai, peserta dibenarkan menjalankan aktiviti sendiri sepanjang festival berlangsung. Pameran hasil ubah suai motosikal (chopper) oleh kelab dan bengkel motosikal tempatan juga tidak kurang hebatnya.

Yang pasti, peserta dan tetamu terpukau melihat daya kreativiti yang dipamerkan oleh mereka.

Selain itu, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menjual cendera hati, mengadakan pertunjukan airbrush malah ada juga yang sempat menganjurkan pertandingan sesama sendiri.

Di pertemuan itu, pemilik-pemilik jentera tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan ahli-ahli kelab bermotor dari luar negara dan tempatan bagi mengeratkan hubungan persaudaraan dalam komuniti.

Penganjur turut menyediakan 30 persembahan kumpulan indie tempatan di pentas utama festival yang diakhiri dengan persembahan kumpulan rock terunggul di Malaysia, Search.

Festival bukan hanya tertumpu pada aktiviti pemotoran, malah turut membuka ruang kepada penggiat dan peminat seni tempatan untuk mengadakan persembahan, menjual dan mempamerkan hasil karya sendiri.

Acara kemuncak adalah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Harley Davidson Sporter XR 1200 berharga RM120,000 yang dimenangi oleh Mohd. Fadzly Md. Diah.

Namun di kalangan 'bikers' ada yang memberi teguran kepada pihak penganjur supaya memperbaiki beberapa kelemahan penganjuran untuk menjadikan acara itu lebih baik pada masa akan datang.

Yang pasti, festival yang cuba meniru penganjuran Minggu Motosikal Pattaya di Thailand itu mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

No comments:

Post a Comment