PBPM, PBTM: Kekejaman Chin Peng tidak dapat dimaafkan
|
|
KUALA LUMPUR 23 Nov. – ‘‘Walaupun sejuta kali meminta maaf, dia (Chin Peng) tetap tidak dapat dimaafkan kerana kekejaman itu... Tiada gunanya dia nak minta maaf lagi dan pulang ke Malaysia sekarang.’’
Demikian reaksi tegas Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), ketika diminta mengulas permohonan maaf bekas pemimpin Parti Komunis Malaya yang disiarkan dalam sebuah akhbar Inggeris tempatan, semalam.
Menurut Shafie Bakri, tidak ada alasan yang munasabah untuk rakyat Malaysia memaafkan Chin Peng apatah lagi menerima kepulangannya.
‘‘Ruang telah pun diberikan kepadanya serta pengikut-pengikutnya ketika Rundingan Damai Baling pada 1955, namun bukan saja dia enggan menerimanya, malah bertindak lebih ganas selepas itu.
‘‘Jadi, apakah wajar kita berikan dia peluang sekali lagi?,’’ soalnya.
Shafie berkata, walaupun angka korban akibat kekejaman Chin Peng dan pengikut-pengikutnya dianggarkan 10,000 orang tetapi jika mengambil kira mereka yang menerima kesan secara tidak langsung, bilangannya lebih ramai.
Beliau menarik perhatian terhadap trauma dan kesengsaraan yang dilalui oleh ahli keluarga termasuk balu, anak, cucu dan cicit pahlawan-pahlawan negara yang terbunuh sepanjang tempoh keganasan PKM.
‘‘Kita kena lihat impaknya secara menyeluruh. Apakah perasaan mereka (ahli keluarga) melihat mangsa yang masih hidup tetapi dibelenggu kecacatan kekal seperti kehilangan anggota badan.
‘‘Bagaimana pula mereka yang mati ditembak, disembelih... dipaku pada kayu? Sudahkah kita semua lupa peristiwa berdarah Balai Polis Kepong. Mangsa-mangsa kekejaman komunis bukan sahaja melibatkan satu kaum, tetapi semua.
‘‘Pemimpin tertinggi polis ketika itu iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Pulau Pinang, Tan Sri Khoo Chong Kong turut menjadi mangsa korban serangan komunis,’’ jelas beliau.
Shafie turut membidas cadangan segelintir pihak supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini dan menganggap tindakan mereka ibarat bermain api dan cuba menjolok sarang tebuan.
Tegas beliau, pihak-pihak yang berkepentingan politik terbabit perlu menghentikan niat mereka kerana ia boleh menimbulkan provokasi dan mengancam keselamatan negara.
‘‘Mereka harus bertanggungjawab. Jangan pula sampai tercetus ketegangan di antara kaum setelah sekian lama kita hidup bersatu padu,’’ tegasnya.
Baginya, pihak terbabit sepatutnya mengimbas kembali sejarah kekejaman komunis dan tidak terjebak dengan ideologi itu sebaliknya mendidik generasi muda untuk menghargai jasa pahlawan negara.
Sementara itu, Presiden Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Ghani turut sependapat dengan Shafie.
‘‘Tiada maaf buat mu (Chin Peng),’’ reaksinya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad yakin bekas pemimpin PKM itu ada motif tersendiri untuk pulang ke negara ini iaitu ingin generasi muda mengingati nama dan kemasyhurannya memperjuangkan ideologi komunis.
‘‘Saya percaya dia berniat begitu, sebab itu beria-ia sangat nak balik ke Malaysia. Padahal, dia seorang pengganas,’’ katanya yang kini berada di Mekah untuk mengerjakan haji.
No comments:
Post a Comment