Monday, November 23, 2009

A STORY OF KUALA LUMPUR (ep33)

CHAPTER 2: EVENT dE KUALA LUMPUR

~"Pastikan alam sekitar dipelihara"~


Najib Tun Razak disambut oleh pegawai-pegawai kedutaan dan ahli peniagaan Malaysia sebaik tiba di penginapannya di New York, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan semua pihak tidak seharusnya berhenti daripada melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan khazanah alam sekitar yang dimiliki negara dapat dipelihara dengan baik.

Perdana Menteri berkata, menjadi tanggungjawab setiap rakyat di negara ini untuk menjaga alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

"Kita semua wajib mengubah pemikiran kita untuk memberikannya (alam sekitar) pertimbangan yang lebih utama.

"Kita harus melakukan ini terutamanya disebabkan kita bertanggungjawab kepada generasi yang akan datang," kata beliau dalam blog www.1Malaysia.com.my.

Najib berkata, inisiatif-inisiatif baru yang dibentangkan oleh kerajaan melalui Bajet 2010 baru-baru ini menyebabkan beliau berasa amat optimistik bahawa lebih banyak tindakan untuk memulihara khazanah alam sekitar akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Ini supaya anak-anak kita dan generasi seterusnya dapat menikmati keunikan dan keajaiban alam semula jadi kita ini pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Katanya lagi, antara langkah yang dirancang kerajaan melalui Bajet 2010 adalah mewujudkan satu dana berjumlah RM1.5 bilion untuk memberikan pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat yang membekalkan teknologi hijau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited menyusun semula Pusat Tenaga Malaysia sebagai Pusat Teknologi Hijau Negara dan menganjurkan pameran antarabangsa berkaitan teknologi hijau pada tahun depan.

Langkah lain termasuk membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai bandar-bandar perintis dalam teknologi hijau dan memberi keutamaan kepada produk-produk dan perkhidmatan yang mesra alam sekitar.

Beliau menambah, inisiatif lain termasuk memastikan perkongsian antara Kerajaan Sabah dengan Tabung Hidupan Liar (WWF) untuk memulihara kawasan-kawasan hutan yang besar bagi melindungi habitat orang utan yang terancam.

"Ketiga adalah Rancangan Tindakan Harimau Kebangsaan, projek yang diangkat oleh Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara yang menyasarkan peningkatan populasi harimau yang kini kurang daripada 500 ekor kepada 1,000 ekor pada 2020.

"Penubuhan Pusat Biodiversiti Negara telah juga dipersetujui untuk memperkasakan lagi pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau ingin mendapatkan pandangan rakyat berhubung apa lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan satu Malaysia yang lebih hijau.

"Bagaimana anda mengurangkan kesan tapak kaki karbon anda? Marilah berkongsi pandangan dengan mengemukakan komen anda," katanya.

Katanya, rakyat juga boleh mendapatkan maklumat dan pandangan mengenai perkara-perkara hijau dan alam sekitar di blog Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.



No comments:

Post a Comment