Monday, November 23, 2009

A STORY OF KUALA LUMPUR (ep35)

CHAPTER 2: EVENT dE KUALA LUMPUR

MMU 7 pamer profesionalisme di Sahara Barat


Dr. Hartini Idris yang bertugas selama enam bulan di Sahara Barat menerima ciuman anaknya, Hasnatul Balqis (kiri) dan Huwaidatul Balqis, setibanya di Kuala Lumpur, Khamis lalu.


KUALA LUMPUR 23 Nov. – Pasukan Perubatan Malaysia 7 (MMU 7), Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Referendum di Sahara Barat (Minurso) menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi sepanjang enam bulan berada di sana.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor berkata, ia dibuktikan melalui pengiktirafan yang telah diberikan oleh warga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakyat tempatan di sana.

‘‘Saya percaya, selama tempoh enam bulan pelbagai cabaran ditempuhi dalam melaksanakan tugas mereka.

‘‘Namun, di atas sikap profesional sebagai anggota tentera, segalanya berjaya dihadapi, malah bantuan perubatan yang diberikan mendapatkan pengiktirafan daripada seluruh warga PBB dan pujian penduduk tempatan di sana,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan kepulangan dan pembubaran pasukan MMU 7 di Wisma Transit di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Pasukan yang diketuai Kolonel Dr. Amaradran Dass William David Dass itu berkhidmat di Sahara Barat pada 22 Mei sehingga 15 November lalu dan pulang ke tanah air pada Khamis lalu.

Mereka terdiri daripada sembilan pegawai perubatan dan 11 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang merupakan pembantu perubatan.

Dr. Amaradran Dass ketika ditemui berkata, secara keseluruhan, pasukannya berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.


Allatif Mohd. Noor (dua dari kanan) bertanya khabar anggota MMU 7 yang pulang ke tanah air Khamis lalu selepas enam bulan bertugas di Sahara Barat.


Menurutnya, bantuan perubatan yang diberikan terdiri daripada rawatan pesakit luar, rawatan kecemasan, kemudahan makmal perubatan, kemudahan farmasi, rawatan pergigian dan perkhidmatan rujukan dan nasihat.

‘‘Cabaran kami di sana adalah perubahan cuaca yang panas dan sejuk. Panas kadangkala mencecah sehingga ke 65 darjah celsius dan ia terlalu panas.

‘‘Kami juga berhadapan dengan bahaya ular berbisa jenis double-horn dan periuk api yang ada di mana-mana dan panggilan kecemasan yang memerlukan kami bergerak dari satu kem ke kem lain,’’ katanya

Pegawai Perubatan, Mejar Dr. Hartini Idris berkata, pengalaman berada di sana cukup bermakna dan tidak akan dilupakan.

Menurutnya, sokongan yang diberikan oleh masyarakat di sana juga begitu tinggi kerana mereka benar-benar memerlukan rawatan dan bantuan perubatan.

Tambahnya, tempoh berada di sana sangat mencabar kerana perlu berhadapan dengan cuaca dan persekitaran yang berbeza.

Kata beliau, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan, ia merupakan pengalaman dan pelajaran baru baginya.

‘‘Saya cukup gembira pulang ke Malaysia kerana dapat kembali menatap dan mencium dua anak perempuan saya, Hasnatul Balqis Amril Syahiedzran, 5, dan Huwaidatul Balqis, 4,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment