Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan mercu tanda yang sangat sinonim bagi bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran, keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara. Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang membabitkan promosi pelancongan negara.
Bangunan ini telah direka oleh arkitek berbangsa British, A. C. Norman dan A. B. Hubbock yang pada waktu itu bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894. Batu asas pembinaan telah diletakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Charles Mitchell pada 6 Oktober 1894. Bangunan ini siap dan dirasmikan pada tahun 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham.
Nama Bangunan Sultan Abdul Samad diambil sempena nama Sultan Negeri Selangor pada masa itu. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi strategik bandaraya Kuala Lumpur iaitu berhadapan dengan Padang Kelab Selangor dan persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
No comments:
Post a Comment