Tuesday, December 22, 2009

Masjid Wilayah


MASJID WILAYAH



Masjid Wilayah
Jalan Duta ,
50480 Kuala Lumpur.
Tel: 03-62018780 Faks: 603-62018790

Iman Besar:
Dato' Hj Kamaruddin bin Zakaria

WAKTU MELAWAT:
Isnin - Khamis: 10am - 12am, 2pm - 4pm
Jumaat: Untuk Solat Jumaat Sahaja
Sabtu, Ahad dan Cuti Umum: 0am - 12am, 2pm - 6.30 pm

Masjid Wilayah Persekutuan terletak berhampiran dengan Kompleks Kerajaan, Jalan Duta dan kini merupakan satu lagi mercu tanda di ibu negara. Masjid ini mula dibina pada 1997 dan siap untuk digunakan pada 25 Oktober 2000. Ia menggunakan konsep tradisi masjid-masjid Othmaniah di Turki. Reka bentuk senibina dan hiasan dalamannya pula adalah merupakan


kombinasi rekabentuk tradisi Melayu Malaysia dan Timur Tengah. Masjid ini boleh menampung seramai 17000 org jemaah pada satu-satu masa. Keluasan keseluruhan bangunan adalah kira-kira 47000 meter persegi. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, masjid ini merupakan masjid yang termoden di Malaysia masa kini.


Cadangan pembangunan masjid ini telah diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Sebuah projek Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ( JAWI ) dan diberikan status sebagai masjid negeri. Masjid ini terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, seluas 13.4 hektar ( 33 Ekar ) ia itu di atas tapak bekas mahkamah dan pejabat kerajaan.
Pembinaan masjid ini dilaksanakan pada 15 Mac 1996 dan disiapkan pada 30 Ogos 2000. Ia telah diserahmilik kepada pihak JAWI pada 1 September 2000. Solat Jumaat yang pertama pada 27 Oktober 2000. Kos pembinaan masjid adalah RM 255 Juta



PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT
1. Rekabentuk dan pembinaan masjid ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia.
2. Jabatan Kerja Raya Malaysia Rekabentuk Senibina , Struktur, Mekanikal, Elektrikal dan Kontrak & Ukur Bahan.
3. Kontraktor Utama Johawaki-Ahmad Zaki Joint Venture.
4. Kontraktor Dinamakan Arabesque Ayu Sdn. Bhd, Kuntum Tenteram Sdn. Bhd., Kejuruteraan Yakiniaga (M) Sdn. Bhd., Syarikat Kejuruteraan Mohammed (PK) Sdn. Bhd., United Elevator Co. (M) Sdn. Bhd. & Perkhidmatan Hawabina

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan mercu tanda yang sangat sinonim bagi bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran, keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara. Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang membabitkan promosi pelancongan negara.

Bangunan ini telah direka oleh arkitek berbangsa British, A. C. Norman dan A. B. Hubbock yang pada waktu itu bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894. Batu asas pembinaan telah diletakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Charles Mitchell pada 6 Oktober 1894. Bangunan ini siap dan dirasmikan pada tahun 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham.

Nama Bangunan Sultan Abdul Samad diambil sempena nama Sultan Negeri Selangor pada masa itu. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi strategik bandaraya Kuala Lumpur iaitu berhadapan dengan Padang Kelab Selangor dan persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

JOM JALAN-JALAN KE MASJID NEGARA



MASJID NEGARA Malaysia terletak di Kuala Lumpur . Dibina antara 1963 dan 27 Ogos 1965 , Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia . Ia boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.

LOKASI

Terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia , Bangunan Daya Bumi , Pos Besar Malaysia , Muzium Kesenian Islam , Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana . Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh buah pintu masuk.Kemudahan untuk pelancong bukan islam juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.

Sebelum terbinanya Masjid Shah Alam, Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat perpaduan dan toleransi. Ia direka bentuk oleh orang berketurunan Melayu, dibina oleh orang berketurunan Cina dan India dan dibiayai oleh sumbangan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.


Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh para arkitek Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.

Sekali pandang, menaranya berukuran 245 kaki tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbungnya kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.

Terdapat tiga buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Di tingkat bawah ruang depan terdapat beberapa buah bilik untuk berwuduk, bilik mandi, tempat menyimpan kasut dan bilik berehat bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur. Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran.

Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.

Menganjung dari keempat-empat bahagian tembok itu pula terletak sebuah galeri untuk kaum wanita dan para pelawat yang ingin melihat bahagian dalam dewan sembahyang tersebut. Bahagian dalam galeri itu dihiasi oleh kekisi yang awan laratnya jelas menunjukkan kebudayaan Islam dan menyerupai pula awan larat yang terdapat di Masjid Taj Mahal dan Patehphur Sikri di India. Bahagian luarnya diturap dengan kekisi terrazzo. Kesembilan-sembilan buah pintu dan kekisi galeri membawa cahaya matahari ke dalam dewan sembahyang itu di samping lampu-lampu berhias, lampu-lampu tersembunyi di roset aluminium di bumbung serta 16 buah tepak lampu (chandelier) kurniaan raja-raja, gabenor-gabenor dan bekas Yang Di Pertua Negara Singapura.

Dewan sembahyang itu dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 orang lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu. Beranda itu terlindung dari luar oleh tirai kekisi dari aluminium dengan terawangnya berawan larat Islam asli. Lantainya dibina daripada kepingan terrazo manakala bumbungnya pula dibina daripada konkrit serta mempunyai beberapa kubah kubah kecil yang dibina daripada mozek biru. Di sebelah barat komplek itu terdapat dewan persidangan. Perkara yang menarik ialah bumbung konkritnya yang berombak-ombak. Dewan ini bertiraikan kekisi terrazo di luarnya. Dewan yang berhawa dingin ini dapat memuatkan 500 orang wakil persidangan keagamaan. Di sini juga terdapat sebuah perpustakaan.

Hasrat untuk membina masjid ini timbul sebulan sebelum hari kemerdekaan. Sebuah majlis yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Kerja Persekutuan memutuskan untuk mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, terhadap jasa-jasanya kepada rakyat. Selepas mencapai kemerdekaan, Majlis Raja-Raja memperkenankan projek tersebut. Bagaimanapun, Tunku tidak mahu masjid dinamakan sempena namanya, tetapi sebaliknya mencadangkan ia dinamakan “Masjid Negara”.